SKIM PERKHIDMATAN KESIHATAN

SKIM PERKHIDMATAN KESIHATAN PELAJAR

 

NAMA

1.  Skim ini dinamakan Skim Perkhidmatan Kesihatan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

 

TUJUAN

2.  Skim ini menetapkan kemudahan-kemudahan perubatan dan pergigian yang dibiayai oleh Universiti untuk pelajar serta kaedah pentadbiran berkaitan dengannya.

 

PEMAKAIAN

3.   Peruntukan-peruntukan  dalam  Skim  ini   adalah  terpakai bagi semua pelajar yang layak melainkan jika ada dinyatakan selainnya dalam syarat-syarat penerimaan seseorang pelajar.

 

TAFSIRAN

4.   Di dalam skim ini, perkataan-perkataan yang berikut mempunyai makna yang dinyatakan melainkan jika konteksnya jelas menghendaki makna yang lain:

      4.1 ’Doktor Panel’ ertinya pengamal perubatan yang bertauliah yang bertugas di Klinik Panel;

      4.2 ’Hospital Kerajaan” ertinya mana-mana Hospital Kerajaan di Malaysia termasuk Hospital-Hospital                 Universiti, Klinik Kerajaan, Yayasan Perubatan Persekutuan dan Pusat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara;

     4.3 ’Klinik Panel’ ertinya pusat perubatan, klinik atau yang dilantik oleh Universiti untuk memberi rawatan kepada pelajar mengikut skim ini termasuk Klinik Kesihatan USIM;

     4.4 ’Pihak Berkuasa Universiti’ ertinya Lembaga Pengarah Universiti, Senat, Fakulti, Pusat, Institut, Jawatankuasa Pengajian, Jawatankuasa Pemilih, Jawatankuasa Kebajikan Pelajar dan Badan-badan lain yang ditetapkan oleh Statut sebagai Pihak Berkuasa Universiti;

     4.5 ’Pelajar’ ertinya seseorang pelajar Universiti yang layak menerima faedah kemudahan perubatan dan pergigian mengikut perenggan 5;

     4.6 ’Skim ini’ ertinya Skim Perkhidmatan Kesihatan Pelajar Universiti;

     4.7 ’Jawatankuasa Perubatan’ ertinya sebuah Jawatankuasa yang ditubuhkan atas arahan Pihak Berkuasa Universiti untuk mempertimbangkan dan membuat perakuan bagi kes perubatan. Jawatankuasa Perubatan boleh terdiri tidak kurang daripada 2 orang pengamal perubatan berdaftar yang diiktiraf yang dilantik sebagai ahli. Sekurang-kurangnya seorang daripada ahli Jawatankuasa Perubatan yang dilantik hendaklah berkelayakan khusus untuk memberi nasihat tentang penyakit yang dihidapi oleh pelajar yang dirujuk;

     4.8Universiti’ ertinya Universiti Sains Islam Malaysia

 

KEANGGOTAAN DAN BAYARAN

5. Pelajar yang layak mendapat faedah di bawah Skim ini adalah seperti berikut:

     5.1  Semua  pelajar  sepenuh masa yang sudah didaftarkan dan sedang mengikuti kursus pengajian untuk ijazah pertama (prasiswazah).

     5.2  Semua pelajar sepenuh masa yang sedang mengikuti kursus pengajian untuk ijazah lanjutan.

     5.3  Mana-mana  pelajar  lain sebagaimana yang ditetapkan oleh  Naib Canselor.

6.  Setiap orang pelajar yang termasuk dalam Skim ini dikenakan bayaran seperti berikut:

     6.1  Pelajar  tempatan  dikenakan bayaran sebanyak RM50.00 untuk satu semester.

     6.2  Pelajar  antarabangsa  dikenakan   bayaran   sebanyak RM100.00 untuk satu semester.

JENIS PERKHIDMATAN

7.1  Jenis perkhidmatan yang diberi dibawah skim ini adalah seperti berikut:

     7.1.1   Rawatan pesakit luar di Klinik Doktor Panel Universiti; dan

     7.1.2  Rawatan pesakit dalam di Hospital Kerajaan dan Hospital-Hospital Universiti.

7.2 Skim ini tidak meliputi rawatan yang diperlukan semasa melahirkan anak dan rawatan-rawatan dan pemeriksaan-pemeriksaan yang berkaitan sebelum dan sesudahnya. Pelajar-pelajar yang digantungkan pendaftaran mereka juga tidak termasuk dalam Skim ini.

 

RAWATAN PESAKIT LUAR

8.      Rawatan pesakit luar adalah seperti berikut:

     8.1  Diberikan  di  Klinik Doktor Panel Universiti termasuk pada masa kelepasan pendek antara semester tetapi tidak termasuk cuti panjang dan sebarang bayaran yang dikenakan akan dibiayai oleh Skim ini.

     8.2 Diberikan di Klinik Kesihatan USIM sahaja semasa cuti panjang.

9.   Pada masa Klinik Doktor Panel Universiti ditutup, rawatan bagi kes-kes kecemasan atau kemalangan boleh didapati di Hospital Kerajaan yang terdekat dan perbelanjaan akan ditanggung oleh Skim ini.

10.   Perbelanjaan bagi rawatan di rumah pesakit sendiri (house calls) tidak akan ditanggung oleh Skim ini.

 

RAWATAN PESAKIT DALAM

11.    Rawatan pesakit dalam adalah seperti berikut:

     11.1    Bayaran-bayaran    hospital    seseorang   pelajar  hanya akan ditangggung  oleh Skim ini sekiranya seseorang pelajar itu dimasukkan ke Hospital atas nasihat Doktor Panel Universiti. Surat akuan/jaminan daripada Universiti akan hanya dikeluarkan oleh Pegawai yang berkenaan selepas ditunjukkan kepadanya surat perakuan Doktor Panel Universiti bahawa pelajar yang berkenaan perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan atau pemerhatian.

     11.2  Pengecualian daripada peraturan dalam perenggan di atas hanya boleh dibenarkan dalam keadaan-keadaan kecemasan dan surat akuan hendaklah dikeluarkan kepada Hospital tersebut secepat mungkin oleh pihak yang berkenaan.

     11.3.    Pelajar Antarabangsa digalakkan menggunakan kad   Insurans perubatan bagi mendapatkan rawatan di Hospital-Hospital swasta.

12.     Seseorang hanya boleh dimasukkan maksimum Wad Kelas Dua Hospital Kerajaan atau Hospital-Hospital Universiti.

13.    Bayaran-bayaran hospital tersebut hanya akan ditanggung oleh Skim ini bagi tempoh berjumlah tidak lebih dari 45 hari pada satu-satu tahun kalender atau pada satu-satu masa yang berterusan.

14.   Jika seseorang pelajar memerlukan rawatan di hospital tersebut bagi tempoh berjumlah lebih 45 hari pada satu-satu tahun kalender atau satu-satu masa yang berterusan, Naib Canselor boleh menentukan sama ada faedah-faedah perkhidmatan ini boleh diteruskan kepada pelajar itu selepas berunding dengan Doktor Panel Universiti.

15.     Bayaran rawatan adalah seperti berikut:

     15.1  Bayaran-bayaran  hospital tersebut akan ditanggung oleh Skim ini sekiranya seseorang pelajar dimasukkan ke hospital tersebut dalam satu semester.

     15.2  Jika  seseorang pelajar dimasukkan ke hospital tersebut dalam masa semester dan terus menerus memerlukan rawatan sehingga selepas akhir semester itu, ia boleh terus menerima faedah perkhidmatan ini dengan syarat jumlah tempohnya tidak melebihi had 45 hari yang dinyatakan dalam perenggan 13 di atas.

16.   Jika seseorang pelajar dimasukkan ke Hospital Swasta dalam keadaan kecemasan (misalnya selepas sesuatu kemalangan) kerana berhampiran hospital tersebut, Skim ini akan menanggung bayaran-bayaran yang dikenakan oleh hospital tersebut untuk rawatan kecemasan sahaja.

 

RAWATAN MENURUT PILIHAN PELAJAR

17.   Jika seseorang pelajar memilih untuk dirawat di Hospital Swasta atau Klinik Swasta, atau di wad yang lebih tinggi daripada Wad Kelas Dua di Hospital Kerajaan, maka segala bayaran untuk rawatan dan sebagainya akan ditanggung sendiri oleh pelajar yang berkenaan.

 

RAWATAN DI LUAR KAWASAN

18.  Jika seseorang pelajar jatuh sakit dalam masa semester ketika berada di luar kawasan kerana sesuatu urusan yang berhubung dengan kursus pengajiannya(misalnya ketika menjalankan kerja lapangan), pelajar itu boleh mendapat rawatan pesakit luar atau pesakit dalam di Hospital Kerajaan yang terdekat dan perbelanjaannya akan dibayar balik oleh Skim ini. Surat perakuan daripada Ketua Jabatan dan resit-resit mestilah dikemukakan ketika membuat tuntutan.

 

PENYAKIT KRONIK

19.   Seseorang pelajar yang baru didiagnos penyakit kronik semasa tempoh pengajiannya, akan diberi rawatan di bawah Skim ini untuk tempoh selama tidak lebih dari 60 hari pada permulaannya. Selepas tempoh ini Naib Canselor akan menentukan sama ada faedah–faedah Skim ini boleh diteruskan kepadanya berasaskan laporan daripada Doktor Panel Universiti.

19A. Seseorang pelajar yang telah didiagnos menghidapi penyakit kronik semasa sebelum memulakan pengajian, Skim ini tidak akan menanggung kos rawatan tersebut.

 

RUJUKAN KEPADA PAKAR-PAKAR

20.  Sesuatu kes yang memerlukan perujukan kepada seseorang pakar akan dikemukan kepada Doktor Panel Universiti  kepada mana-mana pakar di Hospital Kerajaan atau Hospital Universiti. Sesuatu kes tidak boleh dirujukkan kepada pakar-pakar lain kecuali kerana sebab-sebab istimewa dengan kebenaran Naib Canselor terlebih dahulu.

 

PERBELANJAAN-PERBELANJAAN YANG DITANGGUNG

21.  Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan lain dalam Skim ini, perbelanjaan-perbelanjaan yang ditanggung oleh Skim ini adalah meliputi bayaran-bayaran pemeriksaan, nasihat, rawatan, ubat-ubatan, pembedahan dan suntikan-suntikan (termasuk suntikan mencegah penyakit) yang diberi atau disyorkan oleh Doktor Panel Universiti dan semua bayaran Hospital.

22.   Perbelanjaan-perbelanjaan berikut tidak boleh dipertanggungkan kepada Skim ini:

       22.1 bayaran-bayaran pemeriksaan, nasihat, rawatan, ubat-ubatan, pembedahan dan seumpamanya yang              berkaitan dengan atau berbangkit dari mengandung atau melahirkan anak;

       22.2 bayaran-bayaran nasihat, alat-alat dan ubat-ubat untuk perancangan keluarga; dan

       22.3  alat-alat  perubatan  dan  pembedahan seperti gigi palsu, kaca mata, alat-alat pembantu pendengaran,          tongkat penyokong, alat-alat ortopedik dan alat-alat lain seumpamanya.

PENERIMAAN MASUK KE UNIVERSITI

23.   Pendaftar akan menghantar kepada tiap-tiap seorang calon yang diberi tawaran ke Universiti satu borang khas untuk digunakan oleh seorang doktor luar bagi mencatatkan maklumat-maklumat berkenaan kesihatan calon itu. Selepas disempurnakan borang tersebut hendaklah dikembalikan kepada Pendaftar untuk disampaikan seterusnya kepada Doktor Panel Universiti yang akan memutuskan sama ada atau tidak calon itu memerlukan pemerhatian perubatan selanjutnya berasaskan maklumat-maklumat yang diberikan itu.

24.   Seseorang yang diterima masuk ke Universiti sebagai ’medical suspect’ akan dimasukkan ke dalam Skim ini sekiranya Doktor Panel  Universiti berpendapat bahawa pelajar itu memerlukan pemerhatian perubatan yang berterusan selama tempoh tidak lebih enam bulan. Jika pemerhatian masih diperlukan selepas tempoh akhir enam bulan, pelajar itu akan dirujuukan kembali ke Hospital Kerajaan sebelum sesuatu keputusan diambil tentang soal sama ada faedah dari Skim ini boleh diteruskan kepadanya.

 

PEMERIKSAAN

25.  Doktor  Panel  Universiti  akan  menjalankan  pemeriksaan perubatan termasuk X-Ray terhadap seorang pelajar pada bila-bila masa jika difikirkan perlu.

 

KES-KES ISTIMEWA

26.  Naib Canselor boleh membuat sesuatu keputusan selepas berunding dengan Doktor Panel Universiti jika difikirkannya perlu, dalam sesuatu kes luar biasa yang tidak termasuk dalam peruntukan-peruntukan di atas.

 

SKIM PERGIGIAN

27.   Syarat-syarat Kelayakan

        Syarat Kelayakan adalah sama seperti dalam Skim Kesihatan Perubatan.

         i) Kemudahan

         Kemudahan rawatan pergigian adalah jenis rawatan yang ditetapkan dan dibuka mengikut jadual yang ditetapkan oleh Universiti.

         ii) Tanggungan Rawatan

         Pelajar boleh mendapatkan rawatan pergigian dengan kadar had RM 60.00 sekali rawatan. Sekiranya melebihi daripada kadar had yang ditetapkan, pelajar perlu membayar sendiri lebihan tersebut.

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Sains Islam Malaysia,
 Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6115,6125,6121 Faks: +606-798 6124

  JPA  1MALAYSIA  JOM MASUK U