Your Content Goes Here
Cuaca Panas & Kesihatan
Suka atau tidak kehidupan kita dipengaruhi oleh keadaan cuaca harian.
Cuaca panas dan kering adalah fenomena yang biasa di kawasan tropika seperti Malaysia.
Pendedahan kepada cuaca panas adalah salah satu penyebab yang menyumbang kepada peningkatan kedatangan pesakit ke klinik, bilangan kemasukan ke hospital dan malahan kematian dari sesuatu penyakit tertentu terutamanya di kalangan kumpulan yang berisiko tinggi.
Kesan Kesihatan akibat dari Pendedahan kepada Cuaca Panas
Apakah kesan kesihatan berkaitan dengan panas?
Cuaca panas adalah tekanan fizikal kepada badan manusia. Kesan kesihatan adalah berbagai dari sederhana (mild) kepada teruk seperti strok haba, yang boleh menyebabkan maut.
Masalah berkaitan kesihatan boleh terjadi di berbagai tahap suhu disebabkan oleh;
- Pakaian yang pelbagai jenis, keadaan pekerjaan, aktiviti fizikal dan beban kerja.
- Kumpulan umur
- Kecergasan individu
Kesan kesihatan berkaitan cuaca panas termasuk;
- Keletihan/kelesuan akibat dari panas (heat fatigue)
- Pitam/pengsan akibat dari panas (heat syncope)
- Kekejangan akibat dari panas (heat cramps)
- Keletihan/kepenatan akibat dari panas (heat exhaustion)
- Strok akibat dari panas (heat stroke)
Tanda dan gejala kesihatan berkaitan dengan panas
Bagaimanakah saya mengetahui yang saya menghadapi masalah kesihatan berkaitan dengan panas?
Tanda-tanda dan gejala masalah kesihatan berkaitan panas adalah pelbagai bergantung kepada keterukan keadaan sesuatu masalah itu. Gejala-gejala biasa termasuk;
- Sakit kepala
- Keletihan
- Tumpuan lemah
- Pening
- Lemah otot–otot badan atau kekejangan
- Mual dan muntah
Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan, dan koma (tidak sedarkan diri).
Komplikasi (kerumitan)
Apakah keadan yang paling teruk boleh berlaku disebabkan masalah berkaitan panas?
- Strok panas boleh menyebabkan maut
- Kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati
Kumpulan Berisiko
Siapakah yang berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan panas?
Semua orang adalah berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan dengan panas. Walau bagaimanapun, kumpulan tertentu adalah lebih berisiko untuk menghadapi kesan kesihatan. Kumpulan ini termasuk;
- Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, dan lain-lain.
- Orang dewasa (orang yang berumur 40 tahun keatas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda).
- Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah
- Mereka yang menghidapi masalah pernafasan dan jantung
- Mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.
Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat, yang menghalang panas keluar dari penyejatan/pengeringan peluh.
Pencegahan
Bagaimanakah saya boleh mencegah atau mengurangkan kesan kesihatan akibat daripada cuaca panas?
“Mencegah adalah baik daripada mengubati”. Terutamanya untuk mereka yang di klasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi, mereka adalah dinasihatkan untuk berhati-hati dengan kemungkinan tersebut.
Di bawah adalah tip–tip pencegahan:
Perlu
- Minum dengan banyak, tanpa mengira tahap aktiviti anda. Jangan tunggu hingga anda dahaga.
- Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
- Berada di dalam rumah/bangunan
- Hadkan aktiviti luar
- Berehat dengan kerap
- Mandi atau buka kipas angin untuk meyejukkan anda
- Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang, dan longgar.
- Pakai topi atau payung yang besar
Jangan/ tidak perlu
- Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.
- Membiarkan seseorang di dalam kereta yang bertutup.
- Bersenam dalam cuaca panas
Apakah yang perlu saya lakukan jika saya mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas?
Ingat tip–tip di bawah;
- Keluar dari kawasan yang panas
- Tanggalkan pakaian yang ketat
- Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan
- Gunakan kipas untuk sejukkan badan
- Minum air setiap 15 minit
- Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal
Apakah perlu dilakukan jika saya menghadapi kekejangan otot?
- Keluar dari kawasan yang panas
- Meregangkan otot-otot yang terlibat
- Letakkan bungkusan ais/air batu
- Minum air setiap 15 minit
- Hindari aktiviti fizikal yang lasak untuk hari tersebut
Dapatkan nasihat perubatan dengan segera jika anda mengalami tanda-tanda amaran seperti di bawah:
- Panas, kulit kering, tetapi tidak berpeluh
- Kekeliruan/kebingungan
- Kerap muntah
- Susah bernafas
Siapakah yang perlu saya rujuk?
Keterangan lanjut boleh diperolehi dari doktor di :
Pusat Kesihatan Universiti
Universiti Sains Islam Malaysia
Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.
Terdapat empat (4) jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).
Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.
Bagaimanakah untuk mengetahui saya berkemungkinan menghidap demam denggi?
Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas 5-6 hari gigitan nyamuk seperti:
- Demam panas
- Sakit kepala
- Sakit tulang belakang
- Sakit sendi-sendi
- Loya dan muntah-muntah
- Sakit biji mata
- Ruam
Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?
Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.
Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:
- Mudah lebam
- Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
- Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut
Apakah rawatan untuk demam denggi?
Masih tiada rawatan khas untuk demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Pesakit akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan minum air. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah.
Apakah perlu saya lakukan untuk mencegah demam denggi?
Terdapat pelbagai jenis cara untuk mencegah demam denggi :
- Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
- Membuang bekas yang boleh menakung air
- Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan seharusnya ditutup
- Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali
- Pastikan saliran atap sentiasa mengalir
- Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
- Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
- Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti
- Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
- Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk
- Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah
- Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup
Merokok adalah tabiat yang berbahaya. Peratusan perokok diseluruh dunia meningkat dan ini akan meningkatkan lagi masalah yang timbul dari tabiat merokok ini.
Di Malaysia, statistik menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang pada 1998. (1) Jumlah perokok pula meningkat dari 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta dalam tahun 2011 (2).
Penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini, yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun.
49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).
Sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000. Satu fenomena membimbangkan ialah lebih ramai gadis mulai merokok. Malah remaja perempuan yang merokok, didapati bertambah daripada satu kepada lapan peratus, khususnya di bandar. Dianggarkan setiap hari 50 remaja memulakan tabiat buruk ini.
Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok. Antara kandungan asap rokok yang memudaratkan ialah tar, nikotin dan karbon monoksida. (1)
Jika anda tidak merokok, jangan mulakan kerana anda akan mengalami ketagihan dan dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.
Mengapa perlu berhenti?
- Merokok berbahaya tidak kira sama ada anda sendiri yang merokok atau menyedut asap rokok daripada perokok lain, ini dipanggil secondhand atau environmental tobacco smoke (ETS).
- Kajian menunjukkan
- Perokok berkemungkinan mendapat kanser mulut tiga kali ganda lebih tinggi dari mereka yang tidak pernah merokok.
- Kejadian kanser mulut bergantung juga kepada dos rokok dan berapa lama telah merokok. Lagi banyak seseorang itu merokok dan/atau lagi lama seseorang itu merokok, lagi tinggi kemungkinan mendapat kanser mulut.
- Berhenti merokok menyebabkan kemungkinan mendapat kanser mulut menururn. 1 – 4 tahun, kemungkinan menurun kepada 35% dari mereka yang masih merokok. Melebihi 20 tahun, sama macam mereka yang tidak merokok.
- Merokok juga dikaitkan dengan penyakit gusi. Orang yang merokok menghadapi risiko empat kali ganda menghidap penyakit gusi yang serius (periodontitis) berbanding orang yang tidak pernah merokok. Bila tabiat merokok ini dihentikan, keadaan penyakit gusi (periodontium) juga akan bertambah baik, dan risikonya pun menurun atau sama dengan orang yang tidak merokok.
Apa keburukan merokok?
Merokok boleh mendatangkan pelbagai masalah gigi, antaranya :
- Gigi berkarat (staining).
- Nafas berbau (halitosis).
- Penyakit gusi (penyakit periodontium).
- Kanser mulut.
Ia juga dikaitkan dengan masalah perubatan seperti :
- Kanser paru-paru.
- Tekanan darah tinggi.
- Strok.
- Penyakit jantung.
- Mati pucuk.
Apa yang anda perlu lakukan sekiranya anda seorang perokok?
Anda perlu membuang tabiat merokok. Pastikan anda :
- Melakukan sendiri ‘pemeriksaan mulut’
- Melakukan lawatan berkala ke doktor gigi.
Petua berhenti merokok
Bukan senang untuk membuang ketagihan merokok. Anda memerlukan kekuatan mental dan spiritual untuk membuang tabiat ini, disamping sokongan moral dari mereka disekeliling anda.
Beberapa petua untuk berhenti merokok :
- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok dan buatkan nota peringatan.
- Tuliskan sebab mengapa anda perlu berhenti merokok.
- Bersikap yakin, selalu berfikiran positif dan beritahu diri anda yang “anda boleh membuang tabiat merokok”.
- Dapatkan sokongan dari mereka yang mahir dan juga keluarga dan kawan-kawan disekeliling anda. (Dapatkan nasihat dan bantuan daripada doktor atau doktor gigi. Sila rujuk senarai Klinik Berhenti Merokok).
- Atasi keinginan/ gian untuk merokok dengan :
- mengunyah gula-gula getah yang tidak mengandungi gula (chewing gum)
- lakukan senaman
- mandi dengan lebih kerap
- Gunakan terapi gantian nikotin (nicotine replacement therapy) atas nasihat doktor.
Melakukan sendiri ‘Pemeriksaan Mulut’
- Pastikan cahaya terang. Berdiri di hadapan cermin dan periksa semua ruang dalam mulut:
- Bibir (luar dan dalam mulut)
- Pipi (kiri dan kanan)
- Lidah dan bawah lidah
- Lelangit
- Gusi
- Perhatikan tompok-tompok putih atau merah.
- Perhatikan ulser dalam mulut. Jika ulser tidak sembuh dalam masa 2 minggu, segera berjumpa doktor gigi.
- Di luar mulut, gunakan ibu jari, untuk periksa kawasan di bawah rahang bawah (mandible). Jika sakit atau terdapt benjolan atau kelainan pada tisu, dapatkan rawatan doktor pergigian
Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin) dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5-7 hari.
HFMD disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus). HFMD merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.Sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak boleh dijangkiti, tetapi kanak-kanak di bawah 5 tahun adalah paling mudah dijangkitinya.
HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Ia merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau tersentuh air liur (drool) yang mana membolehkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain.
Tanda dan Gejala
Ciri-ciri klinikal termasuk:
- Demam
- Sakit Tekak
- Ulser pada tekak, mulut dan lidah
- Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3 – 7 mm) pada tangan, pergelangan tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin). Vesikel lazimnya pada tapak tangan dan tumit kaki dan ia antara ciri-ciri kemunculannya
- Sakit kepala
- Hilang selera makan
Komplikasi
- Biasanya tidak serius tetapi sebilangan kecil kes didapati merbahaya bila melibatkan sistem saraf dan jantung
Rawatan
Diagnosis dibuat oleh kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik munculnya lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan sihat. Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan mengurangkan gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak berkesan dan tidak diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi merawat demam.
Aspirin tidak seharusnya digunakan pada kanak-kanak bawah 12 tahun semasa demam disebabkan virus. Air garam bagi membilas mulut (1/2 sudu garam bagi 1 gelas air suam) boleh melegakan kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas mulut tanpa menelannya kerana tertelan air garam boleh menyakitkan.
Nasihat kepada Ibu Bapa / Penjaga
Ibu bapa / penjaga adalah diminta mendapatkan nasihat daripada doktor secepatnya jika anak mereka mendapat tanda-tanda HFMD. Mereka seharusnya peka kepada sebarang perubahan tingkahlaku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan mengantuk. Jika mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau mengantuk, ibu bapa / penjaga hendaklah segera membawa anak mereka ke hospital. Elakkan menghantar anak yang mempunyai gejala seperti di atas ke sekolah, pra sekolah atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna.
Pencegahan
Pencegahan melibatkan penjagaan kebersihan yang sepenuhnya. Ahli keluarga dinasihatkan supaya dapat mematuhi amalan kebersihan yang sempurna termasuk kerap mencuci tangan supaya dapat mengawal rebakan jangkitan.
- Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis.
- Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin.
- Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
- Ibu bapa / penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
- Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
- Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Saringan Kesihatan Mental
Untuk saringan kesihatan mental kendiri, boleh dilakukan melalui pautan dibawah. Setelah selesai mengisi, anda boleh hadir ke Pusat Kesihatan Universiti atau mana-mana fasiliti kesihatan dengan membawa keputusan saringan tersebut bagi sesi konsultasi kesihatan bersama pegawai perubatan yang bertugas.
Pautan 1 : https://bit.ly/41JB8iP
Pautan 2 : https://bit.ly/431fWG1
Jika tidak minum air manis setiap hari, tiada gula dalam badan?
Fakta atau mitos :
“Sekiranya saya tidak minum air manis setiap hari, saya tidak ada gula dalam badan” ?
Gambar 1 : Minuman manis (sumber : freepik.com)
Pernyataan bahawa “penghidap diabetes memerlukan air manis setiap hari” adalah tidak benar. Karbohidrat kompleks seperti buah-buahan dan makanan bijirin (nasi, mee dan roti) juga membekalkan tenaga atau kalori. Pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan glukosa dalam darah yang tidak terkawal dan menyebabkan pertambahan berat badan.
Makanan berkarbohidrat membekalkan gula dan boleh digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga, disimpan di dalam hati dan otot sebagai glikogen atau ditukarkan kepada lemak sekiranya tidak digunakan.
Sel badan dan sistem saraf bergantung kepada glukosa. Tanpa gula, badan akan memaksa tisu protein untuk dipecahkan kepada glukosa dan memetabolismakan tenaga untuk menghasilkan keton daripada lemak.
Kehadiran insulin (hormon pankreas) berfungsi untuk mengangkut gula dalam darah ke sel-sel badan. Sekiranya insulin dalam badan berkurangan atau tiada terutama bagi penghidap diabetes, gula dalam darah akan meningkat.
Gula ringkas mengandungi kalori tetapi kurang mengandungi vitamin, mineral dan serat (fibre). Karbohidrat ringkas boleh terdapat dalam makanan seperti :
- Gula pasir
- Gula-gula
- Minuman berkarbonat seperti soda
- Minuman sirap atau kordial
Gambar 2 : Contoh makanan & minuman karbohidrat ringkas (sumber : fitnessgoals.com)
Keperluan karbohidrat adalah antara 40 hingga 60% daripada saranan kalori sehari. Karbohidrat kompleks adalah makanan yang hadir dalam makanan mengandungi serat, vitamin dan mineral dan membekalkan tenaga yang utama.
Untuk meningkatkan pengambilan karbohidrat kompleks dan mendapat zat yang sihat , amalkan perkara seperti :
- Makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan
- Makan lebih nasi bijirin penuh, roti dan bijirin
- Makan lebih legum. (Contoh: kacang tanah, kacang pea, lentil)
Gambar 3 : Sayur, buah dan karbohidrat (sumber : ectomorphworkout.org)
Saranan pengambilan makanan tinggi karbohidrat mengikut saiz hidangan :
Sayur-sayuran | 1 cawan sayur-sayuran mentah, atau |
½ cawan sayur-sayuran yang dimasak | |
Buah-buahan | 1 biji sederhana buah-buahan berbiji (contoh: epal, oren, lai), |
1 potong buah-buahan (contoh : betik, tembikai, nenas) | |
Roti dan bijirin | 1 potong roti, atau |
½ cawan nasi/ pasta/mee, atau | |
½ cawan kekacang | |
Produk tenusu | 1 cawan susu skim, atau |
susu rendah lemak |
{Link: Karbohidrat Kompleks}
Penghadaman dan penyerapan karbohidrat
Gula dan makanan berkarbohidrat akan dihadam kepada molekul yang kecil iaitu glukosa dan diserap ke dalam badan untuk digunakan.
Gambar 4 : Sistem pencernaan manusia (sumber : https://image.slidesharecdn.com)
Di dalam mulut :
Makanan berkarbohidrat akan dipecahkan kepada polisakarida dan maltosa dengan bantuan enzim amilase. Kenyataannya, jika anda makan makanan berkanji seperti biskut, anda akan dapat merasa manis dengan bantuan enzim amilase kerana makanan berada di dalam mulut hanya sementara. Penghadaman karbohidrat berlaku hanya sementara di dalam mulut dan terus masuk ke dalam salur penghadaman.
Di perut :
Makanan yang ditelan akan menjadi bolus bercampur dengan asid di dalam perut dan enzim penghadam protein. Enzim akan memecahkan makanan berkanji. Manakala, makanan yang mengandungi serat akan melambatkan pengosongan makanan di perut. Ini menyebabkan perut akan merasa penuh dan kenyang berpanjangan.
Di usus kecil :
Makanan berkarbohidrat paling banyak diserap di sini. Enzim penghadam karbohidrat iaitu amilase pankreatik memasuki usus kecil melalui salur pankreas. Karbohidrat dalam bentuk polisakarida akan dipecahkan kepada molekul yang lebih kecil seperti di bawah :
- Maltosa : Glukosa + Glukosa
- Sukrosa : Glukosa + Fruktosa
- Laktosa : Glukosa + Galaktosa
Di peringkat ini semua makanan yang berkarbohidrat telah dipecahkan kepada molekul yang lebih kecil. Kebanyakan adalah dalam bentuk glukosa.
Di usus besar :
Dalam masa 1 hingga 4 jam selepas makan, semua gula dan makanan yang berkanji telah dihadamkan, kecuali serat akan tinggal di salur penghadaman. Serat akan menarik air, seterusnya akan melembutkan najis di usus besar. Di sini juga, terdapat bakteria yang memfermentasi serat menghasilkan air, gas dan lemak berantai pendek. Usus menggunakan molekul lemak ini untuk tenaga.
Oleh itu, serat juga boleh menyumbangkan tenaga bergantung kepada berapa banyak yang dipecahkan oleh bakteria dan asid lemak yang diserap.
Glukosa boleh dihadam di dalam mulut dan yang paling penting akan diserap di usus kecil. Glukosa dan galaktosa akan diangkut melalui usus kecil ke sel-sel badan. Manakala, fruktosa akan diserap secara facilitated diffusion, di mana akan melambatkan kenaikan gula dalam darah.
Karbohidrat yang tidak berantai (monosakarida) akan dihadam dengan perlahan dan akan meningkatkan gula dalam darah dengan sedikit. Darah akan mengalir dari usus ke hati, sel-sel di sini akan mengambil fruktosa dan galaktosa dan akan ditukarkan kepada glukosa. Seterusnya meningkatkan glukosa dalam darah.
Kesimpulan
Pengambilan makanan berkarbohidrat boleh menyumbang kepada penghasilan gula dalam badan dan berfungsi untuk menghasilkan tenaga dalam tubuh badan.
Oleh itu, penghidap diabetes tidak perlu mengambil gula setiap hari kerana gula sentiasa ada dalam badan iaitu daripada pengambilan makanan berkarbohidrat.
Rujukan :
- Medline Plus (2012) Carbohydrates. Retrieved: September 21, 2012. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/002469.htm
- Sharon R. R., Kathyryn P. & Ellie W. (2006) The carbohydrate: Sugars, Starches and Fibers. Understanding normal and clinical nutrition. 7th edition. Publisher: Thompson Higher Education 10 Davis Drive Belmont, CA 94002-3098 USA.
- Wikipedia (2008) Carbohydrate. Retrieved: September 21, 2012. Wiki: http://en.wikipedia.org/wiki/Carbohydrate
Dikongsikan 10 jenis kanser tertinggi dalam kalangan rakyat Malaysia menurut Malaysia National Cancer Registry Report (MNCR) 2012-2016.
Bersempena dengan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan orang ramai untuk menjalani saringan kanser agar rawatan awal dapat diberikan.
Beban morbiditi dan mortaliti penyakit strok di Malaysia sentiasa diberi perhatian.
Justeru, pelbagai langkah telah diambil untuk:
Mengurangkan prevalens penyakit strok
Memastikan rawatan akut serta rehabilitasi pesakit strok setanding dengan negara-negara maju.
Memastikan penduduk Malaysia mempunyai akses kepada rawatan penyakit strok sebaik sahaja mereka diserang strok.
Asap rokok yang dihembuskan oleh perokok boleh disedut oleh orang di sekeliling (secondhand smoker) secara terus.